Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun ini sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda sempena Hari Raya Aidilfitri kepada golongan-golongan tertentu yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam.
Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang melibatkan seramai 19,242 penerima ini adalah merupakan kali ke-17 ia diadakan bertujuan bagi membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Pengagihan kurnia peribadi pada kali ini dimulakan dengan pengagihan kurnia peribadi yang disempurnakan oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku wakil-wakil peribadi baginda secara serentak di keempat-empat daerah dan kemudiannya diikuti dengan pengurniaan di beberapa pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Berangkat bagi memulakan pengurniaan kurnia peribadi sebagai wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM) di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima bagi DBM.
Sementara itu, di ruang lain di Istana Nurul Iman, Majlis Pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM di Baitur Rahmah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali. Pada majlis berkenaan, Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima.
Pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM oleh paduka-paduka anakanda baginda di keempat-empat daerah pada hari ini menandakan bermulanya pengagihan kurnia-kurnia peribadi baginda dan diikuti kemudiannya dengan pengurniaan di pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Pengurniaan di pusat-pusat pengagihan akan diteruskan pada 10 hingga 11 Mac 2026 iaitu Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam bagi DBM; Dewan Pusat Insani Seria bagi Daerah Belait dan Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong bagi Daerah Tutong.
Pengurniaan ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan dalam memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini lebih-lebih lagi dalam suasana negara ini tidak lama lagi akan menyambut dan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, para penerima juga menerima buah tangan sebelum meninggalkan istana sebagai tanda prihatin baginda serta berkongsi kegembiraan bersama.
.jpg)
.jpg)
.jpg)






